Memikat Hati Si Dia
"Ustaz, saya bakal melangsungkan perkahwinan
Februari nanti. Harapnya, dapatlah saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari
ustaz sebagai bekal saya menempuh bahtera rumah tangga nanti," seorang
sahabat dari seberang laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.
"Alahai Azman, awak pun tahukan, saya ni
tunang pon tidak, macam mana nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya
menambah humor, menyempitkan jurang kami.
"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya
tanya sesuatu sebelum ni..?" Beliau menyoal saya semula.
"Kalau awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti
tentang rakan-rakan kita di Kutub Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi,
kalau soal rumah tangga ni, susah sikit untuk saya respon. Belum ada
pengalaman!" Saya cuba mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap
pesan saya selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima,
sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.
Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi
apa yang pernah saya baca dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan
saya silibus yang tak akan ditemui dalam bilik kuliah.
"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba
membuat tawaran.
"Saya nak membahagiakan isteri saya,"
jawab beliau ikhlas. Nada suaranya sudah berubah. Sesuai dengan topik yang
sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah kedua
untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.
"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si
dia. Ikatkan dengan hati awak. Pastikan hidup mati awak bersama. Bercinta
hingga ke syurga, bak kata Ustaz Hasrizal," saya cuba mempromosikan
produk.
"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan
sedikit..?" Nada suaranya semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya.
Inilah masanya, umpan sudah mengena.
"Pertama sekali, selepas awak dan dia sudah
halal dengan terlafaznya 'aku terima nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam.
Kalau berpeluang, kucuplah matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang
awak sangat cintakan si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada
yang mengurniakan cintanya pada awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu,
ucapkan juga terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menerima awak
sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.
"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair
hati isteri saya nanti," galak suaranya dengan sedikit ketawa di seberang
talian sana.
"Lepas tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan
madu bersama isteri. Tak perlu belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu
peluang yang berkualiti. Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan
serasikan matlamat serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk
menerima kekurangan dan mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa
depan dan satukan imaginasi korang berdua."
"Sekali sekala, adakan surprise untuk si dia
walau hanya sekuntum bunga. Kalau ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan
sesuatu yang lebih berharga."
"Satu lagi, nafkah. Ini perkara penting yang
telah digariskan dalam syariat kita. Jangan lewat untuk menunaikan kewajipan
awak walau isteri awak ada kerjaya."
"Seterusnya, jangan lupa, bila awak terpaksa
berpisah atau tinggalkan si dia sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum
tinggalkan rumah dan selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya
sentiasa subur dengan bunga-bunga cintanya terhadap awak. Pastikan kamu
sentiasa menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."
"Lebih penting, tunjukkan yang si dia lebih
penting dari segala-galanya. Jangan pula awak liat untuk bertanyakan khabar
kondisi si dia sedang dalam masa yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan
kondisi Produa Myvi di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam
wasiat yang agak sinis ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung
talian.
"Jangan lupa, bincangkan secara baik, jadual
pulang berhari raya. Bimbang si dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua.
Jadi, jangan kedekut untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si
dia."
"Huih, banyak benar ye petua ustaz, macam
pakar! Ayat pula power, macam dah bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah
makin bersemangat ni," Azman semakin bersemangat. Setiap patah perkataan
saya dicerap sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat
dan idea.
"Ye, ada lagi. Mungkin ini yang paling
istimewa. Bila dah ada cahaya mata nanti, cinta kamu akan terbahagi dua.
Separuh untuk isteri dan separuh untuk anak-anak. So, jangan lupa untuk
ungkapkan penghargaan yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga
selepas bersalin. Ungkapan kita akan menjadi penguat semangat si dia untuk
terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses melahirkan bayi.
Saya ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.
"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah
tangga saya kurang bahagia," usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.
"Ok, resepi rahsianya, apabila anta sambut
ulang tahun kelahiran anak-anak, hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada
si dia yang berkorban 9 bulan mengandungkan anak-anak."
"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.
"Habis. Setakat itu sahaja," saya
memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.
"Hai, saya tengah bersemangat ni... jantung
pun tengah kencang berdegup, janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti
boleh jatuh strok saya jadinya." Selorohnya meminta perbualan kami
diperpanjangkan lagi.
"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk
saya," saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.
"Kalau awak masih sudi, masih ada resepi yang
kurang menarik. Jarang orang suka mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul
mahu, saya boleh sambung," nada suara saya mendatar.
"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada
manfaatnya," Azman masih bersemangat.
"Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi
untuk menghidupkan hati yang separuh mati. Mengesat air mata yang tak nampak
alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Awak nak
dengar ke?" Nada saya bertukar sedikit serius.
"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.
"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya
saya ringkas.
"Belum," ringkas juga jawapan Azman.
"Kucupi dahi ibu kamu sebelum kamu mengucup
dahi isteri. Ibu itu yang berkorban 9 bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan
kita dan bersabung nyawa melahirkan kita. Mengasihi kita tanpa sebarang syarat
ataupun mahar mahupun nafkah. Dahi ibu kita lebih layak untuk kita kucup
sebelum kita kucup dahi isteri yang baru kita kenali beberapa bulan."
"Pernah awak berbulan madu dengan ibu?
Berkongsi tujuan dan matlamat hidup dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja
dengan ibu? Kalau belum, honeymoon dulu dengan
ibu awak. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk melihat bahagianya bulan madu
kita bersama isteri dengan melupakan jasa ibu yang pernah meletakkan seluruh
hidupnya untuk kebahagiaan kita. Bahagianya honeymoon kita sehingga
terlupa untuk menghubungi ibu anta di desa sana."
"Pernah awak berterima kasih pada ibu kerana
melahirkan awak? Ibu yang sepanjang hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih
belum diungkapkan, segerakanlah ia sebelum awak berterima kasih kepada isteri
yang sudi menjadi peneman hidup awak. Ibu tua itu lebih aula (utama) menerima
ucapan itu."
"Pernah surprisekan ibu awak
dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum, surprisekan dulu si ibu
itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga. Ibu itu pastinya sunyi bila
kehilangan kita, anak kesayangannya."
"Sewaktu kita mengira belanja harian dan
nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah dan belanja untuk ibu kita yang tak
bergaji di desa sana. Ibu itu telah membesarkan kita tanpa sebarang upah
mahupun bayaran. Ye, duit yang kita akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap
kasih sayang mereka, tapi ianya menjadi tanda yang kita juga masih mengingati
malah menyayangi mereka."
"Man, saya yakin, mak awak sangat sunyi waktu
ini. Saban detik, telinganya pasti ingin mendengar deringan dari seberang laut.
Pasti matanya selalu menatap potret awak yang digantung atau yang terselit di
celah dompet. Hubungilah ibu awak sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu
sekali, pastikan dalam sebulan, khabar awak sampai kepada mak yang jauh di
kampung."
"Man, kalau dengan satu ibu dan satu ayah,
kita sudah tidak mampu untuk memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih
banyak hati-hati yang akan terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua
ayah."
Gelak ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada
Azman yang riang kini berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika.
Suasana hening seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang
seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.
"Saya tak berniat untuk menghancurkan impian
bahagia awak. Tapi, saya yakin dengan sempurnanya plot ini, awak akan lebih
berbahagia. Ummat ini akan lebih berbahagia."
"Saya yakin yang awak sudah maklum. Bait
Muslim (keluarga Islam) tidak akan sempurna tanpa sempurnanya Individu Muslim.
Bagitulah juga, Masyarakat Muslim tidak akan lahir dari Bait Muslim yang
tempang. Khilafah tidak akan terbina dengan Masyarakat yang tidak stabil.
Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin, tarbiah yang awak lalui telah
menjadikan awak Fardul Muslim (individu Muslim) yang baik. Tinggal lagi, Allah
akan mendidik awak untuk melahirkan Bait Muslim yang baik. Adikku Azman, inilah
jalannya."
"Go
home and love your family."
Jawapan Mother Teresa selepas ditanyakan tentang
bagaimana untuk mempromosikan keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan
beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1979.
"Sebaik-baik
kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya. Dan aku
adalah orang yang paling baik untuk keluargaku." - Hadis
Pastikan perkahwinan kita membahagiakan sejuta
hati. Memuaskan sejuta jiwa. Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta
ummah.
Mulailah dari diri kita. Dari rumah kita. Dari
Isteri dan anak-anak kita. Dari masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara
kita. Moga payung khilafah akan menaungi kita kelak.
"Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib
mereka sendiri." - Al-Quran
Ulasan
Catat Ulasan